SUNGAI PETANI: Penutupan operasi pasar malam pada waktu Maghrib di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah tidak membabitkan peniaga bukan Islam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, arahan penutupan sementara hanya membabitkan peniaga Islam bagaimanapun turut menggalakkan peniaga bukan Islam sekiranya mahu berbuat demikian.

"Peniaga bukan Islam khususnya di pasar malam yang dianjurkan di kawasan majoriti atau rumah ibadat bukan Islam, tidak tertakluk kepada peraturan tersebut," katanya pada sidang media di Auditorium Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini pada Isnin.

Beliau berkata, penjelasan dibuat agar keputusan terbabit tidak dijadikan isu memandangkan baru-baru ini wujud pertikaian yang dilaporkan sebuah portal yang mengaitkan arahan itu dengan masyarakat bukan Islam.

"Saya harap pengunjung pasar malam faham, ia bertujuan memberi keutamaan kepada peniaga, pekerja dan pengunjung menunaikan solat Maghrib memandangkan tempoh yang singkat.

"Selain boleh menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa, ia juga dapat mendidik peniaga Islam menunaikan solat di awal waktu, malah peniaga berpeluang untuk menunaikan solat secara berjemaah di surau atau masjid yang berdekatan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Mansor yang mengarahkan semua peniaga pasar malam di negeri ini memberhentikan operasi perniagaan seketika bagi menghormati waktu solat Maghrib bermula 1 Mei ini selaras Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) yang bersidang pada 21 Februari lalu.

Katanya, tempoh itu bermula lima minit sebelum dan selepas waktu solat Maghrib. -Sinar Harian